Ahad, 27 Oktober 2013

#19 : Juga Punya Mimpi

Hari menjelang hari, masing-masing menempuh hari tersendiri.

Ada yang kuat, gagah, penuh tawa, muram kecewa dan yang pastinya hari itu mungkin hari mula atau hari akhir hidupnya.

Ya, semua orang bagaikan roti. Ada hari mula dan ada hari akhir. Mahu bergerak terus ke hadapan hingga bermanfaat buat ummat, atau berdiam diri membiarkan diri dimamah fungus dan ulat.

Itu pilihan kita.

Impian.

Akhir-akhir ini, saya ada terbaca tentang impian-impian yang mereka tertulis di sana sini. Saya seronok, kerana impian mereka ada manfaat besar buat ummat pada masa hadapan.

Impian sebegitu yang patut setiap orang fikirkan.

Oleh kerana berimpian itu percuma, saya juga punya segala bagai impian. Boleh saya katakan, ianya yang besar-besar.

Impian besar, lahir daripada orang berfikir. Tanpa berfikir, sukar kita mampu mendapatkannya. Tetapi, tiada guna andai berimpian besar tetapi tidak bersiap untuk menjadi seorang yang berjiwa besar.

Jiwa Besar.

Benar, berjiwa besar itu penting.

Tapi, mengapa?

Kerana, apabila kita mula berimpian, kita akan mula berdoa dan berharap supaya segala impian kita terlaksana dan menjadi realiti.

Namun, Allah Ta'ala tahu segala-galanya. Tanpa kita sedari, dari segala macam impian yang kita pinta untuk direalisasikan, Dia juga punya perancangan, sebaik-baik perancang untuk kita.

Dalam perjalanan untuk mendapat segala yang diidamkan itu, pasti tidak mudah. Sudah jadi adat, untuk mendapat senang, perlulah bersusah dahulu.

No pain, no gain.

Jalan itu akan penuh onak duri ujian yang tersedia untuk mentarbiyah diri kita. Cuma, kadang-kadang, bila sudah terlalu berat ujian yang diterima hari ini, kita terlupa yang Allah mahu mentarbiyah kita menjadi seorang berjiwa besar, punya ketahanan yang tinggi untuk meneruskan cabaran tatkala datang ujian yang tidak disangka-sangka pada masa hadapan.

Sentiasa bersyukur dengan segala pemberian-Nya dan teruskan berjuang, bernafas dalam rahmat dan redha-Nya hingga akhir hayat.

Taqwa.

Impiankanlah apa sahaja pun.

Kejarlah apa sahaja cita-cita yang ingin dicapai.

Namun, ingat.

Jadilah yang bertaqwa.

Yang ikhlas membuat kerja kerana Allah Ta'ala.

Insya-Allah, Jannah al-Firdaus menanti di sana. Itu impian besar kita.

-Mr. Hope-
1218
271013

Jumaat, 25 Oktober 2013

#18 : Dia Sudah.

Gembira.

Sungguh gembira.

Dia ini sahabat saya. Soleh orangnya. Saat orang lain sukar mendengar luahan perasaan saya, dialah yang jadi pendengar setia. Walau kekadang dia tidak mampu berbuat apa-apa, namun cukuplah senyumannya yang membahagia.

Tempoh hari, secara rahsia dia beritahu saya yang dia sudah bertunang. Saya gembira dengan berita itu. Dan, saya rahsiakan berita itu.

Hari ini, dia beritahu pula yang dia akan berkahwin dalam waktu terdekat.

Allahu Akbar.

Walaupun bukan saya yang akan berkahwin, namun berita ini amat membahagiakan saya. Dia yang begitu pendiam, mengorak langkah lebih kehadapan berbanding orang sahabat lain.

Diam-diam ubi, berisi.

Saya berikan pandangan saya tentang perkahwinan dan nasihat setakat termampu. Apa yang telah saya pelajari, sama ada daripada guru-guru, buku-buku dan sahabat-sahabat lain, saya kongsikan bersamanya, supaya dia lebih bersedia menempuh bait muslim yang bakal dibina.

Berita ini diberi tahu kepada saya atas kepercayaannya dia kepada saya, sebagaimana saya percayakan dirinya. Sangat terharu.

Ini baru berita perkahwinan sahabat.

Kalau perkahwinan sendiri bagaimana pula rasanya.

Heh.

Mr. Hope
25.10.13
7.26 p.m