Jumaat, 27 Disember 2013

#22 : Berimankah?


Subuh nan sunyi.

Angin shitak benar-benar menusuk.

Dengan angin shitak inilah, ada yang makin kuat dan yang makin terkulai lalu lemah. Sungguh, solat subuh berjemaah di masjid bukanlah sesuatu yang mudah. Badan tegap dan berketak bukan syarat untuk jadi kuat menolak selimut dan menyahut seruan Ilahi. Hanya iman yang utuh dan kukuh, mampu memberi kekuatan pada tubuh.

....وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّه...

"...dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah..." (11:88)

Sebuah Mukjizat.

Istimewanya al-Quran ini ialah kerana ia adalah satu-satunya mukjizat Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang masih kekal hingga sekarang. Hatta kaum kafir quraish yang handal berbahasa ketika zaman Nabi, apabila dicabar untuk membuat satu surah untuk menyatakan bahawa kebenaran mereka, ternyata mereka gagal, walau hanya satu surah.

Kerana itu, pejuang-pejuang Islam perlu menguasai bahasa arab fusha sebaiknya. Adalah pelik mempelajari bahasa arab, tetapi mengetepikan atau tidak mengendahkan al-Quran dan hadis-hadis, sangat pelik. Kerana pada al-Quran dan hadis, banyak yang boleh dipelajari dari segi bahasanya.

Tetapi setelah Islam tersebar luas kepada kaum selain arab ('ajam), maka penghayatan al-Quran dari segi bahasanya kian berkurang, kerana kebanyakan kaum selain arab memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya.

Lalu, yang tinggal sekarang ini buat umat Islam, ialah akhlak. Kerana, misi besar Rasulullahi sallallahu 'alaihi wa sallam ialah untuk itu, membawa akhlak yang 'makaarim', yakni mulia. Tetapi jika akhlak umat Islam pada hari ini ialah akhlak yang punah ranah, di manakah lagi identiti istimewa Islam?

Teringat kata-kata Cat Steven, "Saya beruntung kerana saya mengenali Islam, sebelum saya mengenali umat Islam."

Semakin tinggi ilmu, sepatutnya semakin tinggi akhlak dan adab. Berilmu tinggi tanpa akhlak dan adab, laksana orang gagah tegap tetapi bertelanjang bulat. Kuat, namun memalukan dan pelik.

Berimankah?

Walau pagi ini pagi jumaat, namun imam tidak membaca surah bagaimana selalu, tetapi surah lain. Tidak tahulah mengapa, tetapi yang saya tahu, dua surah (as-Sajjadah dan al-Insan) tersebut, bukanlah sesuatu yang wajib dibaca, tetapi digalakkan.

Pada rakaat kedua, ayat-ayat yang dibacakan benar-benar menggugah jiwa menggigit rasa. Syahdu.

Bukanlah kerana syahdunya suara imam tersebut, tetapi ayat yang dibacakan. Ianya memberi kesan kerana bahasanya bukan bahasa manusia, tetapi bahasa Sang Pencipta. Penuh istimewa.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Mengeluh tatkala ujian menimpa?

Pegang dada.

Tanya, 'ada lagikah iman di dadaku?'

Jika ada, tetaplah, tsabatlah, sabarlah.

Orang beriman itu sememangnya medan ujian buatnya adalah luas.

Tiada kerehatan yang nyata di dunia ini. Istirahat yang hakiki, nun di sorga sana. Terlebih istimewa buat hamba-hamba yang istimewa.

Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang kerap menzalimi diri.

Kita hanya hamba.

T_T

-Mr.Hope-
07:23a.m
27.12.13