Jumaat, 25 Oktober 2013

#18 : Dia Sudah.

Gembira.

Sungguh gembira.

Dia ini sahabat saya. Soleh orangnya. Saat orang lain sukar mendengar luahan perasaan saya, dialah yang jadi pendengar setia. Walau kekadang dia tidak mampu berbuat apa-apa, namun cukuplah senyumannya yang membahagia.

Tempoh hari, secara rahsia dia beritahu saya yang dia sudah bertunang. Saya gembira dengan berita itu. Dan, saya rahsiakan berita itu.

Hari ini, dia beritahu pula yang dia akan berkahwin dalam waktu terdekat.

Allahu Akbar.

Walaupun bukan saya yang akan berkahwin, namun berita ini amat membahagiakan saya. Dia yang begitu pendiam, mengorak langkah lebih kehadapan berbanding orang sahabat lain.

Diam-diam ubi, berisi.

Saya berikan pandangan saya tentang perkahwinan dan nasihat setakat termampu. Apa yang telah saya pelajari, sama ada daripada guru-guru, buku-buku dan sahabat-sahabat lain, saya kongsikan bersamanya, supaya dia lebih bersedia menempuh bait muslim yang bakal dibina.

Berita ini diberi tahu kepada saya atas kepercayaannya dia kepada saya, sebagaimana saya percayakan dirinya. Sangat terharu.

Ini baru berita perkahwinan sahabat.

Kalau perkahwinan sendiri bagaimana pula rasanya.

Heh.

Mr. Hope
25.10.13
7.26 p.m

Ahad, 29 September 2013

#17 : Untuk Malas


Duhai malas,
Aku harap engkau dengar,
Nasib baik dengar itu tidak boleh dimalaskan,
Kecuali engkau tutup telinga.

Engkau tahu,
Aku mahu rajin?

Diriku ini penuh pengharapan,
Harapan yang menjalar laju untuk terus maju ke hadapan,
Namun mengapa engkau ketat menjalar aku seiring dengan harapan dan cita-cita aku?

Aku musykil.

Engkau tahu,
Betapa aku ini tegar melawan engkau,
Hingga kadang-kadang tidak terlawan.

Engkau kuat setiap masa,
Namun aku ada pasang surutnya.
Letih kudratku,

Malas,
Izinkan aku berjaya,
Janganlah engkau cuba-cuba lagi menahan aku.

Jauh di sana,
Aku ingin berjaya,
Menggapai apa yang termampu,
Membuat semua berbangga,
Mengembang panji dakwah-Nya.

Malas,
Nyahlah engkau!

Mr. Hope.
29.9.2013
7.19a.m

#16 Dipinang

Tidak pernah.
Tidak pernah ada dalam sanubari,
Diri hina dina ini akan ditaqdim,
Oleh seorang wanita.
Tidak pernah.

Namun, fatwa hati belum memberi jawapan,
Bahkan pada usiaku dan keadaanku sekarang,
Ia rumit untuk diputuskan,
Sungguh, ia suatu urusan besar untuk masa hadapan.

Dahulu aku kagum dengan lelaki yang dipinang perempuan,
Kerana kebanyakan mereka golongan yang taat kepada-Nya.
Namun, aku?
Ah, aku pun tidak mampu menjawab.
Solehkah aku?
Allah...
Aku malu.

Kita jadi mahal apabila kita benar-benar jadi hamba-Nya, patuh segala perintah, tahan bermujahadah.

Ayah bilang,
Semua ini satu pernghargaan buat kita yang bergelar lelaki.

Benar,
Aku jadi tiada suara,
Terkejut tiada daya,
Aku hanya bersedia ke gerbang itu,
Tetapi tidak pernah terfikir akan dipinang.
Kaku.

Nun di sana,
Ada yang lebih mulia,
Dipinang bidadari syurga.

Nikmat segala.

Mr. Hope.
29.9.2013
6.55a.m

Rabu, 25 September 2013

#15 : Berputik

Hari makin hari saya jalani seperti biasa.

Hanya biasa-biasa. Tiada yang istimewa buat insan seperti saya ini.

Hingga kekadang, terasa diri ini sudah sampai masanya. Tetapi tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Agak ragu-ragu.

Saya sedar saya seperti insan lain yang punya perasaan dan jiwa raga untuk dibelai dan diberikan haknya.

Dia mahukan seorang peneman. Yang sudi menemani dalam saat apa sekali pun. Di tengah taufan, hujan, kemarau, ombak deras, di mana-mana sahaja.

Peneman yang bisa buat hati yang gelisah gundah jadi indah, penuh pesona. Yang bisa jadi ibu terbaik buat anak-anak, penyambung generasi pembina ummah.

Pegang dada. Saya sudah umur berapa?

Adakah awal 20-an suatu yang dikira terlalu awal untuk berumah tangga?

Semua itu jawapannya ada di batang tubuh kita sendiri. Allah dan kita sahaja yang tahu.

Sudah bersedia memutik perasaan?

Moga segalanya dipermudah.

Rabu, 26 Disember 2012

#14 : Sunat.



"Eh, esok hari khamis, mahu puasa sunat?"

Dia angguk.

" Insya-Allah." Bunyinya.

Untuk hari isnin pun, begitulah ragamnya.

Jika dia bangun awal, dia masakkan sahur. Jika saya lebih awal, saya yang akan sediakan.

Sama-sama saling melengkapi. Satu lemah, satu lagi kuatkan. Itulah fungsi menjadi sahabat.

Bukan mudah untuk lakukan berseorangan, perlu berdepan dengan para syaitan dan nafsu-nafsu buas sendirian, lalu mudah tewas dengan segala pujuk rayunya. Terus, jadi lemah.

Harus ada jemaah. Walau berdua, itu sudak ok. Solat sendirian tidak dinamakan jemaah, dua orang barulah boleh.


Bina iman diri, untuk bina iman generasi hadapan.

Hari ini, bergelumang berlawan dengan nafsu fasad, menentang syaitan. Kerana suatu hari nanti, kita, sang lelaki ini, bakal jadi imam kepada keluarga.

Walau nampak lambat, tetapi ianya sudah dekat. Mula sekarang, untuk masa hadapan.

Jangan tunggu mahu kahwin baru mahu bina. Bina sekarang, insya-Allah binaannya bakal jadi binaan yang lebih besar dan nampak lebih bersedia dan matang untuk menghadapi segala cabaran mendatang.

Bukan mudah mahu bina keluarga yang diredhai Allah, perlu kerah segala kekuatan untuk berkorban. Bersedialah.


Sunat.

Lazimnya, orang yang lakukan banyak amalan sunat ini, mereka yang punya jalan juang mujahadah yang tinggi. Mereka bukan sahaja berjaya laksanakan yang wajib, bahkan juga yang sunat.

Mahu dapat redha Allah, apapun onak duri mendatang, sanggup sahaja diredahi.  Jangan mudah mengalah dan kalah. Jangan menyerah, teruskan mujahadah!

Hidup, bukan saja untuk bina badan, tapi juga untuk membina iman.

Tanpa iman, siapalah kita. Siapakah kita untuk dipandang-Nya?

Mari, sama-sama kita kejar mardhaatillah.


Rasa lemah berseorangan? Carilah sahabat baik yang mampu menguatkanmu.



-Mr.Hope-
26.12.2012
11:27 p.m.